Salin semula contoh karangan Perbincangan di bawah.

. Karangan Jenis Perbincangan
1.      Karangan jenis ini membicarakan dua sudut secara serentak iaitu sesuatu isu dan persoalan.
2.      setelah mengemukakan pengenalan ( maksud atau definisi tajuk )
3.      perlu mentafsirkan tajuk sama ada benar atau salah, baik atau buruk, tetapi pendapat menjurus ke arah tajuk
4.      tulis bahagian isi ( pastikan anda dapat menyediakan 4 isi )
5.      setiap isi haruslah dibincangkan ( yang penting didahulukan )
6.      kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi ( perlu penghujahan yang benar dan logik )
7.      setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup ( berupa penegasan terhadap tajuk ).
Tinggal di kampung lebih baik tinggal di bandar.
Pendahuluan :
       ulasan kamu mengenai tempat tinggal kamu
       pilihlah yang mana sesuai
isi
i.        alam sekitar
       udara , bunyi , air
ii.      jimat perbelanjaan
       sumber makanan yang murah dan segar
iii.     hidup berjiran
       tolong-menolong , bekerjasama
iv.     suasana lebih aman
       jauh daripada kesibukan , jenayah , kecurian
Penutup
penegasan kepada tajuk
          Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar. Di kampung banyak keaslian dan kecantikan alam semula jadi yang tidak terdapat di bandar.
Saya suka tinggal di kampung keran adi sini terdapat pokok-pokok yang menghijau , burung-burung berkicauan dan sungai-sungai yang jernih airnya. Di kampung suasananya aman dan damai. Udaranya bersih dan nyaman , jauh daripada pencemaran udara. Oleh itu tinggal di kampung lebih sihat daripada tinggal di bandar.
Tinggal di kampung boleh menjimatkan wang. Kita boleh menggunakan air yang tidak berbayar dan air perigi yang sejuk dan jernih untuk di minum, membasuh, dan mandi. Kita juga boleh menanam dan makan sayur-sayuran yang segar.
          Orang-orang di kampung hidup tolong-menolong , bergotong-royong dan bertegur-sapa di antara satu sama lain. Dengan ini hidup lebih bermakna dan dapat menghindarkan diri dari pengaruh-pengaruh yang boleh merosakkan dan menjatuhkan moral.
Suasana yang tenteram dan damai , udara yang segar dan penduduknya yang berbudi bahasa menyebabkan tinggal di kampung lebih baik daripada di bandar.
Tajuk : Bincangkan kebaikan dan keburukan menonton televisyen.
          Televisyen merupakan alat ciptaan manusia hasil daripada perkembangan sains dan teknologi. Alat perhubungan ini amat popular pada masa kini.
          Menonton televisyen mempunyai banyak kelebihan kerana televisyen menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Melaluinya, kita dapat mengetahui cara dan gaya hidup masyarakat lain. Selain itu, terdapat juga rancangan-rancangan bercorak pendidikan yang disiarkan misalnya rencana. Kita akan memperolehi ilmu yang berfaedah daripada siri tersebut.
          Namun begitu, menonton televisyen juga boleh melalaikan dan membuang masa di depan televisyen terutamanya pelajar-pelajar. Mereka lebih suka menghabiskan masa di depan televisyen tanpa menghiraukan pelajaran.
          Kesimpulannya, kita boleh menonton televisyen tetapi mesti mengetahui batas-batas kerana televisyen mempunyai kebaikan dan keburukan.



Tidur lewat merupakan amalan yang tidak baik. Bina satu karangan untuk menyatakan kenapa murid-murid mesti tidur awal.
Pendahuluan : Tidur sebahagian daripada rehat – murid perlu tidur 8 jam sehari.
Isi-isi            : Dapat bangun awal – cukup masa bersiap-sedia ke sekolah.
                    : Tidur lewat mengantuk dalam kelas – otak tidak dapat berfikir 
                      dengan sempurna.
                    : Kesihatan terganggu – cepat berasa letih.
                    : Dapat menguruskan diri dengan baik – badan sentiasa segar.
Penutup        : Tidur awal perlu diamalkan – kesihatan terjaga.
          Tidur merupakan sebahagian daripada rehat. Tidak dapat dinafikan bahawa tidur lewat banyak keburukannya. Oleh itu, setiap murid mestilah tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari.
          Apabila tidur lewat, sudah tentu sukar untuk bangun pagi. Jika bangun lewat pula akan timbul keadaan tergopoh-gapah untuk ke sekolah. Dengan itu, murid-murid mesti tidur dan bangun awal supaya mempunyai cukup masa untuk bersiap-sedia ke sekolah.
          Mereka yang tidur lewat akan mengantuk di dalam kelas. Apabila perkara ini timbul, segala ajaran guru bagaikan mencurah air ke daun keladi.Ini adalah kerana otak sudah tidak dapat berfikir dengan baik.
          Jika tidur lewat, kesihatan kita akan terganggu sedangkan kesihatan penting untuk proses tumbesaran diri seseorang. Mereka yang tidur lewat juga akan cepat berasa letih dan tidak bermaya.
          Tidur lewat merupakan amalan yang tidak baik. Murid yang cukup tidur dapat menguruskan diri mereka dengan baik berbanding yang tidak cukup tidur. Selain itu, badan mereka sentiasa sihat dan segar.
          Dengan demikian, murid-murid patut mengamalkan tabiat tidur awal supaya kesihatan mereka terjaga.
Tinggal di bandar adalah lebih baik daripada tinggal di kampung. Bincangkan.
Pendahuluan : Kebanyakan orang suka tinggal di bandar – kehidupan selesa.
Isi-isi            : Rumah di bandar lebih selesa – banyak kemudahan.
                    : Ke destinasi dengan cepat – terdapat pengangkutan awam.
                    : Banyak tempat menarik – tambah ilmu pengetahuan. 
                    : Kemudahan perpustakaan awam – banyak kedai buku.
Penutup        : Kampung semakin maju, tetapi ramai orang masih suka tinggal di 
                      bandar. 
          Kebanyakan orang suka tinggal di bandar. Bagi mereka, terdapat banyak kemudahan di bandar yang menjadikan kehidupan mereka lebih selesa. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah orang yang suka tinggal di kampung.
          Bagi diri saya, tinggal di bandar lebih baik daripada tinggal di kampung. Rumah-rumah di bandar lebih selesa. Tambahan pula, ianya dilengkapi dengan bekalan air paip, elektrik dan telefon. Pada masa sekarang masih terdapat kampung-kampung yang tiada kemudahan tersebut.
          Di bandar, kita dapat ke destinasi yang hendak dituju dengan cepat dan mudah. Pengangkutan awam seperti bas dan teksi memudahkan kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Selain itu, jalan di bandar lebih luas tidak seperti di kampung yang tidak begitu sempurna.
         Di bandar-bandar besar, terdapat banyak tempat menarik seperti muzium, zoo, planetarium negeri dan sebagainya untuk dilawati. Bagi orang yang tinggal di bandar, mereka boleh ke tempat tersebut bila-bila masa sahaja untuk menambahkan ilmu pengetahuan.
         Di bandar juga terdapat kemudahan seperti perpustakaan awam yang dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis buku. Kedai-kedai buku juga lebih banyak terdapat di bandar.Ini bermakna bahan bacaan di bandar lebih banyak berbanding dengan di kampung.
          Kesimpulannya, tinggal di bandar adalah lebih baik daripada tinggal di kampung. Walaupun kampung semakin meningkat maju tetapi orang ramai lebih suka tinggal di bandar.      
Air mempunyai banyak kegunaannya. Bincangkan.
Pendahuluan    : Air adalah anugerah yang tinggi nilainya.
Isi-isi               : Untuk manusia, haiwan dan tumbuhan.
                       : Perlombongan – memecah dan memisahkan tanah dengan timah.
                       : Untuk petani – siram tanaman.
                       : Sumber tenaga – menjanakan kuasa elektrik.
Penutup           : Mesti jimat menggunakan air.         
                      
          Air merupakan anugerah Tuhan yang tinggi nilainya. Bayangkanlah, bagaimanakah jika kita tidak memperolehi setitik air dalam sehari? Tentulah kita akan berasa lesu dan tidak bermaya.
          Air sangat diperlukan oleh hidupan di muka bumi ini. Manusia memerlukan air untuk dibuat minuman, membersihkan diri dan membasuh pakaian. Haiwan pula memerlukan air untuk minuman manakala bagi tumbuhan, air amat penting untuk proses fotosintesis.
          Pelombong-pelombong memerlukan air untuk mendapatkan hasil galian mereka. Air digunakan untuk memecah dan memisahkan tanah dengan timah. Kegiatan ini dapat dilihat melalui penggunaan kapal korek, pam kelikir dan palung.
          Air juga diperlukan oleh para petani untuk menyiram tanaman mereka supaya hidup dengan subur. Tanpa air, tanaman mereka akan mati kekeringan.Ini akan menyebabkan kerugian dan boleh menjejaskan mata pencarian mereka.
          Kita tidak dapat menafikan bahawa air juga boleh dijadikan sumber tenaga.Ini adalah kerana, air deras yang turun dari empangan digunakan untuk memusingkan tubin. Pusingan ini boleh menghasilkan tenaga elektrik.
          Sebagai pengguna, kita haruslah memanfaatkan air dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, elakkan daripada terjadinya pembaziran.
Belajar berkumpulan lebih baik daripada belajar bersendirian. Bincangkan.
Pendahuluan : Satu cara belajar yang berkesan ialah secara berkumpulan –
                      boleh diadakan di mana-mana.
Isi-isi            : Dapat bertanya rakan sesuatu yang tidak difahami.
                    : Melatih mengeluarkan pendapat – dapat bertukar-tukar nota dan
                      pendapat.
                    : Tidak jemu atau mengantuk. 
                    : Saling bantu-membantu dan bekerjasama – eratkan hubungan.
Penutup        : Pilih rakan kumpulan yang sesuai.
          Salah satu cara belajar yang berkesan ialah belajar secara berkumpulan. Biasanya belajar berkumpulan dilakukan pada masa lapang di tempat yang sunyi supaya tiada gangguan.
          Sesetengah murid lebih suka belajar bersendirian tetapi yang sebaik-baik cara ialah belajar berkumpulan.Ini kerana, mereka dapat bertanya rakan yang lebih berpengetahuan jika mereka tidak memahami sesuatu.
          Selain itu, murid-murid juga dapat melatih diri mereka mengeluarkan pendapat iaitu dengan cara bertukar-tukar nota dan pendapat masing-masing sesama rakan mereka.
          Jikalau murid-murid belajar bersendirian, sudah tentu mereka cepat berasa jemu dan mengantuk. Justeru itu, mereka digalakkan belajar berkumpulan kerana ia bukan sahaja tidak membosankan malah lebih menyeronokkan.
          Apabila murid-murid belajar berkumpulan, tentulah wujud sikap saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Secara tidak langsung, sikap ini akan mengeratkan lagi persahabatan di antara mereka.
          Kesimpulannya, belajar berkumpulan adalah lebih baik daripada belajar bersendirian. Namun begitu, pilihlah rakan kumpulan yang sesuai yang boleh membantu murid-murid meningkatkan prestasi pelajaran.